Isnin, 27 Julai 2009

PERSEMPADANAN SEMULA BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHAN RAYA

KAJIAN DAN PERSEMPADANAN SEMULA

Kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri adalah merupakan salah satu daripada tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan. Setiap bahagian pilihan raya harus mengandungi sebilangan pemilih yang tinggal di kawasan yang boleh dikenal pasti. Dalam menjalankan kajian berkenaan, Suruhanjaya Pilihan Raya dibantu oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Perangkaan dan Jabatan Peguam Negara. Sehingga kini, sebanyak 8 kali urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri telah diadakan.

TEMPOH KAJIAN SEMULA

Suruhanjaya Pilihan Raya dibenarkan menjalankan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya hanya selepas 8 tahun dari tarikh selesainya kajian yang terdahulu. Setiap kajian semula mesti diselesaikan dalam tempoh 2 tahun dari tarikh ia bermula. Lazimnya, urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri dijalankan serentak di semua negeri di seluruh Malaysia kecuali Sarawak.

PRINSIP-PRINSIP PERSEMPADANAN SEMULA

Dalam menjalankan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya mematuhi prinsip-prinsip yang digariskan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Prinsip-prinsip ini adalah seperti yang berikut:-
i)
Di samping memberi perhatian terhadap mustahaknya pemilih-pemilih diberi peluang-peluang kemudahan yang berpatutan untuk mengundi, sempadan bahagian-bahagian pilihan raya tidak harus memasuki sempadan-sempadan Negeri dan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya Negeri tidak harus memasuki sempadan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan;

ii)
Perhatian harus juga diberi kepada kemudahan-kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian-bahagian pilihan raya itu untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi pendaftaran dan semasa mengundi;

iii)
Bilangan pemilih di dalam tiap-tiap satu bahagian pilihan raya dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyaknya kecuali bagi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar di mana keluasan bahagian patut diberi pertimbangan memandangkan kepada lebih besar kesulitan untuk sampai kepada pemilih-pemilih dalam daerah-daerah kampung dan lain-lain kesukaran yang dihadapi; dan

iv)
Perhatian juga patut diberi kepada kesulitan-kesulitan yang akan timbul dengan perubahan-perubahan bahagian-bahagian pilihan raya dan juga memelihara hubungan setempat.

PROSEDUR-PROSEDUR PERSEMPADANAN

Laporan Kajian Semula Persempadanan dengan syor awal persempadanan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri. Pada masa yang sama, suatu notis dikeluarkan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar dan disiarkan dalam Warta, serta dipamerkan di semua bahagian-bahagian pilihan raya selama satu bulan untuk pemeriksaan dan rayuan orang ramai.

Proses persempadanan bermula dengan arahan oleh Ibu Pejabat SPR kepada Pengarah-pengarah Pilihan Raya Negeri mengumpul maklumat-maklumat seperti bilangan pemilih di bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri, kemudahan-kemudahan baru yang ada seperti bangunan dan sekolah-sekolah untuk digunakan sebagai tempat pengumuman pilihan raya dan kemudahan perhubungan dan pengangkutan. Arahan ini dikeluarkan setelah tamat tempoh lat 8 tahun dengan selesainya kajian semula persempadanan sebelum ini.

Suruhanjaya mesti mengadakan siasatan tempatan untuk mendengar rayuan yang diterima dalam tempoh pameran itu dari mana-mana Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan 100 orang pemilih dan lebih, dari bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat dengan kajian tersebut.

Sebaik sahaja selesai siasatan berkenaan, sebarang perubahan kepada syor persempadanan mestilah dipamerkan semula kepada orang ramai untuk tempoh sebulan. Suruhanjaya tidak perlu mengadakan lebih daripada dua siasatan tempatan.

Cadangan persempadanan yang akhir akan dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan dalam Dewan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan. Bahagian-bahagian pilihan raya yang baru hanya terpakai apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubar.



Info Penting @ Tahukah Anda? *

[Persempadanan semula bahagian-bahagian Negeri Sarawak

Tahun 1968 P 24 N 48
Tahun 1977 P 24 N 48
Tahun 1987 P 27 N 56 Tambahan P 3 N 8
Tahun 1996 P 28 N 62 Tambahan P 1 N 6
Tahun 2005 P 31 N 71 Tambahan P 3 N 9

P- Parlimen
N- Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan