Isnin, 1 Mac 2010

SPR sasar daftar 470 ribu pemilih baru di Sarawak

SPR sasar daftar 470 ribu pemilih baru di Sarawak
Feb 19, 10 2:33pm

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mendapatkan bantuan daripada pegawai-pegawai agensi berkaitan bagi membantu gerakan pendaftaran seramai 470,000 pemilih baru yang telah mencapai umur 21 tahun di Sarawak, kata Pengarah SPR negeri Datuk Takun Sunggah hari ini.

Beliau berkata pegawai-pegawai kerajaan termasuk daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Pembangunan Masyarakat (Kemas) dan polis akan dibayar RM1 bagi setiap borang pendaftaran sebagai insentif bagi mendapatkan lebih ramai mendaftar sebagai pemilih.

"Pada masa ini, Sarawak mempunyai 924,000 pemilih berdaftar, dan merupakan negeri keempat tertinggi yang mempunyai bilangan pemilih tidak berdaftar," katanya.

Sebagai sebahagian daripada gerakan pendaftaran itu, beliau berkata SPR berhasrat meningkatkan jumlah pemilih berdaftar di kalangan penjawat awam dengan memohon kerjasama jabatan dan agensi persekutuan di Sarawak mengenal pasti petugas yang layak mendaftar sebagai pemilih.

Setakat ini, SPR mendaftarkan seramai 309 pemilih baru hasil maklum balas 73 daripada 122 jumlah keseluruhan jabatan dan agensi kerajaan, katanya.

- Bernama