Selasa, 24 November 2009

Kota Siputeh: Mahkamah tangguh DUN kosong

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan sementara perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah tersebut.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira jam 7.30 malam. Esok merupakan tarikh akhir bagi SPR melaksanakan perintah mahkamah tinggi supaya mengeluarkan writ pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.
Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, SPR boleh menangguhkan pengeluaran writ tersebut untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
Keputusan hari ini dibuat sebulat suara oleh panel hakim yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie. Dua lagi hakim ialah Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Aziz Abdul Rahim.
Mengikut undang-undang, apabila SPR telah mengeluarkan writ tersebut, maka ia tidak boleh dibatalkan.
Sebelum itu, peguam kanan persekutuan, Kamaluddin Md Said berhujah bahawa wujud keadaan tertentu yang membolehkan penangguhan itu dibuat.
Katanya, jika SPR sudah menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian, dan jika rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kemudiannya dibenarkan, maka pilihan raya kecil itu adalah satu pembaziran dana awam.
Kamaluddin juga menegaskan, jika pilihan raya kecil diadakan, ia mungkin menyebabkan ada dua wakil rakyat, jika rayuan SPR dibenarkan.
Manakala peguam kanan Sulaiman Abdullah, yang mewakili speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail pula berkata, jika mahkamah membenarkan penangguhan itu, ianya hanya menghalang perjalanan perlembagaan kerana kerusi tersebut telahpun diisytiharkan kosong.
"Apabila sesebuah kerusi diisytiharkan kosong, maka pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dan writ pilihan raya hendaklah dikeluarkan esok," katanya.
Sulaiman berkata, juga tidak ada keperluan segera untuk memberi penangguhan kerana Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan SPR sebelum tempoh 60 hari itu.
Maka katanya, tidak ada keperluan segera untuk mahkamah membenarkan penangguhan. Tambahan lagi, katanya, mengikut undang-undang, mahkamah tidak boleh memberi sesuatu penangguhan terhadap mana-mana perintah yang dipohon.

Isnin, 23 November 2009

SPR GAGAL TANGGUH PERINTAH KOSONGKAN - Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mendapat perintah untuk menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah sebagai kosong.Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan SPR bagi mendapatkan perintah penangguhan itu tetapi suruhanjaya itu telah merujuk perkara berkenaan kepada Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan satu lagi permohonan untuk perintah penangguhan.
Jika ia tidak mendapat perintah itu, SPR perlu mengeluarkan writ menjelang Rabu ini bagi mengadakan satu pilihan raya kecil di situ.
Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata beliau bersetuju dengan Sulaiman Abdullah, peguam utama bagi Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bahawa SPR gagal meyakinkan mahkamah berhubung isu keadaan luar biasa bagi mewajarkan permohonan itu dibenarkan.
Katanya, alasan mengenai implikasi kewangan yang dinyatakan oleh peguam kanan persekutuan Datuk Kamaruddin Md Said, yang mewakili SPR, tidak boleh ditakrif sebagai satu keadaan luar biasa."Mengikut undang-undang, menguruskan pilihan raya merupakan tanggungjawab biasa SPR dan suruhanjaya ini tidak merujuk mana-mana undang-undang kes untuk menyokong hujahnya," kata Alizatul.Pada 17 Nov lepas, SPR mengemukakan permohonan itu setelah Alizatul membuat keputusan sehari sebelumnya bahawa kerusi berkenaan kosong kerana mendapati penyandangnya Datuk Abu Hassan Sharif daripada BN gagal menghadiri dua mesyuarat dewan itu berturut-turut tanpa mendapat cuti.
Mahkamah membuat keputusan itu ekoran tindakan Speaker DUN memfailkan semakan perundangan setelah SPR menerima sijil sakit Abu Hassan dan mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan dan beliau masih mewakili kerusi itu.Dalam penghakimannya hari ini, Alizatul berkata tanpa unsur keadaan luar biasa, mahkamah tidak dapat membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu.Abu Hassan turut hadir pada prosiding hari ini. BERNAMA

Isnin, 16 November 2009

SPR MINTA NASIHAT PEGUAM NEGARA

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meminta nasihat Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh, Kedah.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR akan meminta nasihat Peguam Negara bagi menentukan langkah seterusnya yang patut diambil berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu."Kita perlu meminta nasihat daripada Peguam Negara terlebih dahulu mengenai langkah yang perlu diambil memandangkan ini kali pertama kes sedemikian berlaku dalam sejarah."Kita mahu lihat sama ada SPR menpunyai ruang untuk merayu kes itu kepada pihak yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan)," katanya kepada Bernama hari ini."
Isu ini telah menjadi satu isu akademik yang wajar diteliti, jadi elok SPR membawanya kepada Peguam Negara terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan," kata Wan Ahmad.Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin hari ini memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.
Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi kawasan Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

KOTA SIPUTEH DIISYTIHAR KOSONG

Pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah selepas kerusi berkenaan diisytihar kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.
Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN esok.Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan."Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya ketika menyampaikan keputusannya pada jam 5.30 petang. "Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata Hakim Alizatul ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.Abdul Isa, yang diwakili oleh peguam utama Sulaiman Abdullah, memfailkan semakan kehakiman pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakilrakyatnya.
Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan bahawa jika mana-mana anggota DUN tidak menghadiri persidangan dewan tanpa kebenaran Speaker selama dua persidangan berturut-turut, maka kerusi yang diwakilinya akan menjadi kosong.
Dalam keputusannya hari ini, Hakim Alizatul berkata tidak dipertikaikan bahawa Abu Hassan tidak memperoleh kebenaran daripada Speaker untuk tidak menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut, dan hanya mengemukakan sijil cuti sakit beliau kepada Speaker pada 10 Ogos 2009."Speaker mempunyai kuasa mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah bagi memberi kebenaran dan beliau tidak bertindak secara tidak munasabah apabila menolak sijil cuti sakit bertarikh 10 Ogos 2009 selepas mengetahui bahawa wakil rakyat itu turut menghadiri satu majlis pada hari yang sama," katanya.Hakim Alizatul menegaskan SPR telah bertindak secara tidak sah ketika menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan oleh Abu Hassan sebagai alasan kerana ketidakhadirannya.
SPR juga membuat keputusan tidak wajar ketika memutuskan bahawa Perkara 51 hanya boleh digunakan selepas Speaker merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, katanya."Tiada peruntukan mandatori dikenakan ke atas Speaker untuk berbuat demikian memandangkan keputusan sama ada merujuk perkara itu kepada jawatankuasa berkenaan atau tidak adalah budi bicara beliau memandangkan perkara berkaitan kebenaran bukanlah keistimewaan yang diberikan kepada seseorang wakil rakyat,"katanya.Hakim Alizatul berkata SPR telah tersalah tafsir maksud "dua persidangan berturut-turut" mengikut Perkara 51 sebagai dua sesi berasingan."Saya bersetuju dengan peguam pemohon bahawa responden pertama (Abu Hassan) telah tidak menghadiri dua persidangan berturut-turut dalam satu sesi tanpa gendala," katanya.Mahkamah turut menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan SPR bagi penangguhan perintah pilihan raya kecil.Di luar mahkamah, Abu Hassan memberitahu pemberita beliau menerima keputusan itu dan menyerahkan kepada peguamnya, Datuk Hafarizam Harun, untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.SPR diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said. - Bernama

Rabu, 4 November 2009

Nazri: SISTEM UNDI POS KEKAL - 4 Nov 2009

Kerajaan tidak bercadang untuk menggantikan sistem undi pos dengan sistem pengundian awam bagi polis dan tentera kerana ia bersesuaian dengan keperluan jawatan dan tugas mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) turut membenarkan wakil parti yang bertanding untuk melihat sendiri proses pengundian dan pengiraan undi supaya mereka dapat memastikan sendiri proses itu berjalan dengan adil dan lancar."SPR masih berpendapat bahawa sistem pengundian pos yang sedia ada masih lagi relevan seperti mana yang diperuntukkan di dalam Peraturan 2 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftar Pemilih) 2002 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003," katanya di Parlimen hari ini.Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) sama ada kerajaan berhasrat menggantikan sistem pos dengan sistem pengundian awam bagi anggota polis dan tentera seperti yang dilaksanakan di Thailand.
Beliau turut menafikan dakwaan Abdul Halim bahawa terdapat 2.5 juta nama pengundi yang sudah meninggal dunia di dalam daftar SPR kerana daftar tersebut dikemaskini setiap enam bulan, mengikut senarai kes kematian yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mohamed Nazri berkata SPR juga tidak bercadang untuk menjadikan isteri atau pasangan anggota tentera dan polis sebagai pengundi awam."Kalau isteri ikut suami (bertugas) di Sarawak dan dia daftar sebagai pengundi di Pengkalan Chepa, tak kan pula dia nak balik ke Pengkalan Chepa untuk mengundi?"Ini melibatkan kos dan akan timbulkan masalah logistik," katanya.
Mohamed Nazri berkata sistem undi pos memberi peluang kepada semua anggota tentera, polis dan Pasukan Gerakan Am yang bertugas di luar negara, pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara dan pasangan masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa mengabaikan tugas mereka."Namun begitu, ini tidak bermakna SPR tidak bersedia untuk melakukan usaha penambahbaikan dalam pengurusannya, malah, SPR sentiasa responsif terhadap perubahan-perubahan semasa," katanya.
Di samping itu, Mohamed Nazri turut menyelar pihak pembangkang yang mengajukan aduan kepada SPR setiap kali mereka kalah dalam pilihan raya, sedangkan BN tidak pernah berbuat demikian."Saya tiada statistik, tetapi semasa pilihan raya, waktu BN kalah, termasuk kalah undi pos kita tak pernah mengadu, tetapi kalau pembangkang kalah dan kalah undi pos memang SPR banyak terima aduan," katanya. BERNAMA