Isnin, 14 September 2009

PILIHAN RAYA KECIL N.31 BAGAN PINANG NEGERI SEMBILAN


Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober manakala tarikh keluar writ dan notis masing-masing pada hari ini dan esok.Katanya, pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 dan daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu."Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.
DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor yang mewakili BN meninggal dunia pada 4 September lalu.Menurut Abdul Aziz, daftar pemilih tersebut akan mula dijual pada 18 Sept."Para pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web SPR iaitu www.spr.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN ke 15888 pada tarikh yang sama," katanya.
Beliau berkata, 8,577 atau 62.77 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa (lihat carta). "Daripada pecahan itu, 7,912 pengundi terdiri daripada golongan lelaki manakala bakinya, 5,752 pengundi ialah pengundi wanita," katanya.Menurut Abdul Aziz, dewan Majlis Perbandaran Port Dickson akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson. "Untuk pilihan raya kecil ini, SPR akan membuka lapan buah pusat mengundi yang melibatkan lapan buah sekolah dan 18 tempat saluran mengundi," katanya.Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz turut mengumumkan penubuhan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen."Pasukan berkenaan akan mula bertugas dari tarikh penamaan calon hingga tamat hari mengundi, dan akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa."Ia akan turut dianggotai oleh seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding," katanya sambil memberi amaran, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954."Saya ingin tegaskan sekali lagi, jangan terkejut jika kita bertindak tegas dan mengenakan tindakan, dan jangan kata SPR berlaku zalim. Kita dah ingatkan banyak kali," katanya.Di bawah subsesyen berkenaan, mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 1 tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.Seperti pilihan raya kecil yang lain, SPR turut membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil berkenaan. BERNAMA

Isnin, 7 September 2009

PILIHAN RAYA KECIL DI N.31 BAGAN PINANG DI KETAHUI ISNIN DEPAN - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Isnin depan dan mengumumkan tarikh bagi pilihan raya kecil kawasan DUN Bagan Pinang pada hari yang sama.Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau kini masih menunggu surat memaklumkan tentang kekosongan kerusi DUN itu daripada Speaker DUN Negeri Sembilan."Saya menjangkakan surat itu dihantar pada hari ini tapi setakat pagi ini, saya belum lagi menerima apa-apa surat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.Pada pilihan raya umum tahun lepas, Azman, 54, yang mewakili BN menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.Ditanya tentang kemungkinan pilihan raya kecil itu diadakan selepas perhimpunan agung khas Umno pada 13 hingga 16 Okt ini, beliau berkata ia masih dalam pertimbangan."Memandangkan banyak peristiwa penting berlaku bulan depan, jadi perkara itu akan menjadi agenda utama yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti," kata Abdul Aziz.